APA SAJA YANG ANDA INGIN TAHU TENTANG BLOG KH SKBH INI, CARI DI SINI

Saturday, June 25, 2011

Inovasi daripada bahan terbuang

AZIZUDIN Aziz menunjukkan tanglung yang dihasilkan daripada jerami yang telah diproses. – Gambar BAIZURA HARUN


ANTARA yang terkenal di negeri Kedah sudah tentulah kehijauan sawah padinya yang saujana mata memandang, sehingga ia diberi jolokan 'Negeri Jelapang Padi'.
Kalau ada padi sudah tentu ada jerami dan sekam padi sebagai bahan buangan, yang kuantitinya mungkin lebih banyak berbanding dengan beras yang dihasilkan setiap kali tiba musim menuai.
Lazimnya, kaedah konvensional bagi melupuskan jerami dan sekam padi yang menimbun ialah dengan membakar.
Kaedah ini memang menjimatkan, tetapi memberi kesan besar kepada alam sekitar. Asap daripada pembakaran tersebut bukan saja mencemarkan udara, malah membahayakan kerana sudah banyak kes kemalangan jalan raya dilaporkan akibat asap daripada pembakaran jerami menghalang pandangan pengguna kenderaan.
Keadaan ini mendorong pihak-pihak tertentu termasuk Universiti Sains Malaysia (USM) membuat kajian bagaimana untuk memanfaatkan bahan buangan daripada padi ini untuk dijadikan sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan kepada yang rajin untuk mengusahakannya.
Antara individu yang nampak usaha ini sebagai satu perkara yang berpotensi untuk dikomersialkan ialah, Azizudin Aziz, 34 tahun.
Anak muda ini telah mengorak langkah menubuhkan perniagaan kraf berasaskan kertas yang diperbuat daripada jerami dan sekam padi.
KeistimewaanBeliau yang mengerjakan perusahaan ini bersama isterinya, bertuah kerana mendapat sokongan dan pemantauan berterusan daripada pihak Kraftangan Cawangan Kedah.
Malah, Azizudin kini beroperasi dari bengkel Inkubator di Kraftangan Kedah untuk menjalankan produksi dan kerja-kerja kraf beliau.
"Sememangnya bidang kraf ini menjadi minat saya sejak dari kecil lagi. Saya cuba mencari sesuatu kelainan dan menghasilkan inovasi daripada bahan yang orang tidak terfikir boleh dimanfaatkan," ujarnya ketika ditemui di Inkubator Kraftangan sempena lawatan media turun padang di Kedah, baru-baru ini.
Antara keistimewaan kertas daripada jerami ini ialah ia tidak mengandungi sebarang bahan kimia, malah proses penghasilannya juga mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Azizudin yang berkelulusan pengajian Bahasa Arab dari Kolej Oman di Palestin berkata, minatnya dalam seni khat telah mendorong beliau menghasilkan produk kraf khat di atas kertas jerami.
"Saya memang berminat untuk menjadi usahawan. Setiap kali selepas bersembahyang Jumaat di masjid, saya melihat ramai yang menjual khat ayat al-Quran di masjid, jadi saya fikir inilah masanya untuk saya hasilkan kelainan.
"Sebagai contoh, bingkai gambar ayat al-Quran ini saya jual dengan harga RM250 hingga RM300 bergantung pada saiznya," ujar bekas guru Bahasa Arab ini.
Dengan bantuan dua lagi pekerja, Azizudin mempelbagaikan keluarannya dengan menghasilkan produk kraf tangan dan lampu tanglung yang beraneka warna untuk dijual kepada pencinta seni kraf di seluruh Malaysia.
Beliau juga bercadang untuk memasarkan produk buatan syarikatnya ke peringkat antarabangsa menerusi pameran yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia.
Inovasi Azizudin tidak terhenti di situ, bahkan dari semasa ke semasa dia memikirkan idea untuk mempelbagaikan lagi produknya bagi memenuhi cita rasa pengguna masa kini.
"Idea untuk menghasilkan tanglung dari kertas jerami ini adalah satu percaturan yang menggabungkan antara elemen kraf dan nilai estetika dekorasi.
"Tanglung ini bercirikan moden dan sesuai untuk menjadi hiasan lampu dalam rumah yang bercirikan moden dan unik," katanya sambil menunjukkan beberapa tanglung yang telah siap.
Azizudin, yang nyata berpandangan jauh dalam bidang kraf jerami ini berkata, beliau akan memasarkan tanglung jerami di hotel-hotel di Kedah, bertepatan dengan gelarannya sebagai Negeri Jelapang Padi .

COMMENTS :

Don't Spam Here

0 comments to “Inovasi daripada bahan terbuang”

Post a Comment

 

Copyright © 2009 Fresh Themes Gallery | NdyTeeN. All Rights Reserved. Powered by Blogger and Distributed by Blogtemplate4u .